AS hukum Saddam
Sebenarnya bukan kerajaan Iraq, sebaliknya Amerika Syarikat (AS) yang memilih untuk menjatuhkan hukuman ke atas Saddam Hussein secara terburu-buru sebaik sahaja hukuman ke atasnya disahkan, sekali gus menidakkan semua perbicaraan yang sedang menantinya.
Kerajaan Iraq yang ada sekarang tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan jika perbicaraan-perbicaraan itu diteruskan, tetapi AS mempunyai sebab untuk berasa bimbang.
Bagi memahami dan mengetahui susur-galur sebenar, perkara yang perlu adalah mengimbas semula pencerobohan AS ke atas Iraq pada Mac 2003.
Alasan pencerobohan AS pada ketika itu adalah Iraq mempunyai senjata pemusnah dan langsung tidak terlintas untuk membawa demokrasi kepada rakyat Iraq.
Bagi meyakinkan seluruh dunia bahawa senjata pemusnah besar-besaran (WMD) Saddam merupakan ancaman kepada seluruh dunia, maka didedahkan betapa jahat dan buruknya perangai Saddam termasuk “sanggup meracun rakyat sendiri.”
Malangnya sehingga hari ini senjata pemusnah itu terbukti tidak ada ada, menyebabkan skrip pencerobohan AS diubah, iaitu membawa demokrasi kepada penduduk Iraq.
Bagaimanapun dalil itu memerlukan Saddam tampil sebagai gergasi ganas dan pendedahan itu pula memerlukan cerita-cerita sokongan yang penuh dramatik bagaimana beliau membunuh rakyatnya sendiri, seperti melancarkan serangan gas beracun ke atas pemberontak Kurdis pada 1988, dan beliau akan dihukum gantung akibat “kejahatan itu.”
Memang perkara yang menarik apabila perbicaraan kes serangan gas itu sudah bermula beberapa bulan yang lalu, dengan perbicaraan membabitkan pemberontakan Kurdis pada 1988 dan penentangan Syiah pada 1991 dijangka bermula tahun ini. Malangnya, semua perbicaraan itu tidak menjadi kenyataan kerana terbatal dengan sendiri apabila Saddam menjalani hukuman gantung atas kesalahan membunuh 144 penduduk Dujail yang didakwa terbabit dalam komplot membunuh beliau pada 1982.
Mengapa Dujail? Bayangkan bahawa beliau muncul dalam tampuk kekuasaan pada lewat 1960-an dengan menyingkirkan semua kepimpinan Parti Komunis Iraq (kebanyakannya puak Syiah) daripada kekuasaan, melancarkan perang ke atas Iran pada 1980 yang menyebabkan setengah juta orang terbunuh, membunuh penduduk Kurdis pada 1987- 1988 apabila kebanyakan pemimpin puak ini menyebelahi Iran, menyerang Kuwait pada 1990 dan membunuh penduduk Syiah pada 1991 apabila mereka menentang pemerintahannya selepas berakhirnya perang.
Mereka menggantung Saddam kerana Dujail. Kenapa?
Ia sama seperti jika Adolf Hitler ditangkap pada 1945 tetapi kesalahannya mencetuskan Perang Dunia Kedua dan membunuh lebih enam juta orang Yahudi dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya dibicarakan kerana membunuh orang yang disyaki terbabit dalam komplot melakukan serangan bom ke atasnya pada Julai 1944.
Sebegitu banyak jenayah yang dilakukan oleh Saddam, mengapa beliau digantung disebabkan tindakan pembunuhan ke atas komplot Dujail?
Jawapannya, AS terbabit secara langsung dalam semua jenayah, kecuali di Dujail. AS terbabit dalam pembunuhan ke atas anggota Parti Komunis Iraq, dengan Agensi Risikan Pusat (CIA) memberikan senarai keanggotaan kepada Saddam.
AS juga yang menyuruh Saddam melancarkan serangan ke atas Iran sehingga kepada tahap membekalkan senjata kimia, data perisikan satelit dan AWACS mengenai sasaran di Iran, selain menempatkan penterjemah foto Tentera Udara AS bagi melukis peta lengkap mengenai bentuk muka bumi Iran dan menyemburkannya dengan gas beracun.
Jangan lupa bahawa pentadbiran Reagan menghalang Kongres daripada mengecam Saddam kerana menggunakan gas beracun dan Jabatan Negara pula melindungi Saddam apabila beliau menyerang penduduk Kurdis menggunakan gas beracun pada 1988 di Halabja serta menyebarkan cerita bahawa Iran yang bertanggungjawab menyembur senjata kimia tersebut.
Bukan rahsia juga bahawa tentera laut AS yang memberikan perlindungan kepada kapal tangki yang membawa minyak dari negara-negara Teluk sementara pesawat pejuang Iraq bebas menyerang kapal-kapal tangki yang datang dari pelabuhan Iran.
Malah AS menutup mata apabila pesawat pejuang Iraq tersilap membedil kapal pemusnah AS pada 1987, menyebabkan 37 anak kapal terbunuh.
Dan bapa kepada Presiden George W. Bush sendiri yang bertanggungjawab menggesa penduduk Syiah dan Kurdis memberontak sebaik sahaja tentera Iraq diusir keluar dari Kuwait pada 1991, tetapi gagal menggunakan kekuatan tentera udara untuk melindungi penduduk Syiah selepas mereka melancarkan pemberontakan.
Sebenarnya AS terlibat secara langsung dalam semua jenayah-jenayah besar yang dilakukan oleh Saddam dan disebabkan itu juga perbicaraan yang dijalankan tidak membenarkan sama-sekali maklumat terperinci dikeluarkan dalam keterangan.
Sebaliknya para perancang dalam pentadbiran Bush sekarang telah menjadikan kes di Dujail sebagai pemula dalam perbicaraan Saddam sementara jenayah-jenayah yang lebih besar dibicarakan kemudian, kerana mereka tahu, hukuman mati akibat kesalahan di Dujail akan menutup semua jenayah-jenayah lain.
Sebab itu juga, lelaki yang dihukum gantung pada awal pagi Sabtu lalu bukan sahaja menjalani perbicaraan sandiwara di mahkamah kanggaru, tetapi turut dibunuh atas jenayah yang salah.
– Agensi
No comments:
Post a Comment